APA YANG AKAN BERLAKU SELEPAS 24 JAM ANDA DITAHAN

Suatu hari anda telah ditahan oleh pihak polis atas kesalahan tertentu. Kemudian anda telah dibawa ke Balai Polis Berhampiran untuk membuat siasatan lanjut. Anda telah disyaki melakukan satu kesalahan jenayah.

Jadi apa yang akan berlaku selepas itu?

AMBIL KETERANGAN

Dalam tempoh 24 jam selepas anda ditahan, perkara pertama yang akan dilakukan adalah pihak polis akan mengambil keterangan anda bagi tujuan siasatan. Anda juga boleh mendapatkan nasihat peguam sebelum memberikan keterangan kepada pihak polis. Selepas mengambil keterangan anda, pihak polis boleh membebaskan anda atau membuat permohonan reman di Mahkamah bagi tujuan siasatan lanjut.

REMAN

Sekiranya pihak polis mempunyai sebab yang munasabah untuk mengaitkan anda dengan mana-mana pertuduhan jenayah dan pihak polis tidak dapat menyelesaikan siasatan dalam tempoh 24 jam, pihak polis akan membuat permohonan reman dibawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan.

Reman adalah satu prosedur dimana pihak polis akan membuat permohonan kepada seorang Majistrate untuk satu tempoh tahanan bagi tujuan siasatan. Tempoh reman adalah berbeza bergantung kepada fakta kes dan budibicara Majistrate.

Semasa permohonan reman berlangsung, anda boleh diwakili oleh seorang peguam untuk membuat bantahan terhadap permohonan reman tersebut atau memohon supaya tempoh reman dikurangkan atas alasan tertentu.

Untuk penjelasan yang lebih mendalam berkaitan dengan reman boleh klik SINI dan untuk penjelasan berkaitan dengan 3 sebab Mahkamah boleh menolak atau mengurangkan reman boleh klik SINI.

PERTUDUHAN, JAMINAN DAN MITIGASI

Selepas tempoh reman tamat, dan pihak polis telah mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat pertuduhan di Mahkamah, anda akan dibawa ke Mahkamah untuk dituduh.

Semasa pertuduhan dibacakan anda boleh memilih untuk mengaku salah atas pertuduhan atau minta dibicarakan.

Sekiranya anda memilih untuk dibicarakan, Mahkamah akan memberikan peluang untuk anda membuat rayuan terhadap jaminan yang akan ditawarkan bagi kes-kes yang boleh dijamin (bailable offence) atau yang tidak boleh dijamin namun Mahkamah mempunyai budibicara untuk memberikan jaminan (non-bailable offence).

Untuk penjelasan lebih lanjut berkaitan dengan jaminan boleh klik SINI.

Namun, sekiranya anda memilih untuk mengaku salah, Timbalan Pendakwa Raya akan mengemukakan fakta kes, dan bukti-bukti terhadap kesalahan tersebut dan rekod lampau anda sekiranya ada. Selepas itu Mahkamah akan memberikan anda peluang untuk merayu pengurangan terhadap hukuman.

Sebelum anda membuat pengakuan bersalah, saya cadangkan anda untuk baca pertimbangan-pertimbangan yang perlu anda lakukan sebelum merekodkan pengakuan bersalah di SINI dan klik SINI untuk mengetahui apakah faktor-faktor yang membolehkan Mahkamah memberikan hukuman yang lebih rendah.

PENGURUSAN KES

Seterusnya, sekiranya anda tidak mengaku bersalah, Mahkamah akan menetapkan tarikh-tarikh sebutan bagi pengurusan kes sebelum Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

Di peringkat ini juga, Timbalan Pendakwa Raya akan memberikan dokumen-dokumen berkaitan dengan kes anda yang akan digunakan semasa perbicaraan ini. Mahkamah juga akan menetapkan tarikh untuk anda melantik peguam sekiranya anda belum melantik peguam dan juga Mahkamah akan memberikan anda peluang untuk menghantar satu representasi kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk mempertimbangkan pertuduhan anda.

PERBICARAAN (PERINGKAT PENDAKWAAN)

Selepas tarikh-tarikh pegurusan kes tamat, anda pun telah diberikan dokumen berkaitan kes anda dan tarikh perbicaraan telahpun ditetapkan, maka tibalah hari perbicaraan. Sekiranya anda tidak mempunyai peguam, anda perlu mewakili diri anda sendiri. Di dalam perbicaraan jenayah terdapat dua peringkat iaitu PERINGKAT PENDAKWAAN dan PERINGKAT PEMBELAAN.

Di peringkat pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya perlu mengemukakan saksi-saksi pendakwaan serta bukti-bukti berkaitan bagi membuktikan pertuduhan terhadap anda. Tugas peguam pada peringkat ini adalah untuk mencabar saksi-saksi pendakwaan serta mencabar penerimaan bukti-bukti yang dikemukakan supaya dapat membuktikan bahawa Timbalan Pendakwa Raya tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk membuktikan anda bersalah.

Sekiranya diakhir peringkat pendakwaan Mahkamah memutuskan bahawa Timbalan Pendakwa Raya gagal untuk membuktikan pertuduhan terhadap anda maka anda akan dilepaskan dan dibebaskan.

Namun sekiranya, Mahkamah memutuskan bahawa Timbalan Pendakwa Raya Berjaya membuktikan kes, maka anda perlu melalui peringkat yang kedua iaitu Peringkat Pembelaan.

PERBICARAAN (PERINGKAT PEMBELAAN)

Di peringkat ini, anda perlu mengemukakan saksi-saksi serta bukti yang dapat membuktikan anda tidak bersalah. Sekiranya di peringkat ini, Mahkamah menerima hujahan pembelaan anda maka anda akan dilepaskan dan dibebaskan dan sebaliknya sekiranya mahkamah menolak pembelaan anda, maka Mahkamah akan memutuskan anda bersalah dan disabitkan akan kesalahan.

Mahkamah juga akan memberikan peluang kepada anda untuk membuat rayuan sebelum Mahkamah menjatuhkan hukuman dan selepas itu anda akan dijatuhkan dengan hukuman yang Mahkamah anggap sebagai wajar dan munasabah.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, ini adalah ringkasan terhadap prosedur dalam kes Jenayah yang biasa daripada tempoh ditahan sehingga tamat kes. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan terhadap prosedur-prosedur tertentu bagi kes-kes tertentu khusunya yang melibatkan kes di Mahkamah Tinggi seperti kes SOSMA atau pertuduhan dibawah seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya.

Semoga bermanfaat.

About the author

Alif Tarmizi

Tuan Alif Tarmizi merupakan seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes jenayah sejak 2017. Antara kes yang pernah beliau kendalikan adalah kes Dadah, Jenayah Seksual, Jenayah Rasuah, Jenayah Komersial, POCA, SOSMA, Jenayah Berat dan lain-lain.

View all posts

2 Comments

  • slm tuan. baru baru ini sy ditangkap suspek 395/397. sy direman 16 hari. selepas itu sy keluar dari lokap tanpa jamin@jamin polis. kes ini mmg tak ada kene mengena dgn sy. lepas tu io yg ambik kes sy ni tahan hp dgn kereta saya. boleh ke dia tahan kereta sy dan hp sy. dia ckp apa bila dah ready nnt dia akn panggil utk pulangkan.