3 SEBAB MAHKAMAH BOLEH MENOLAK PERMOHONAN REMAN

Reman adalah satu prosedur yang mana seseorang penguatkuasa undang-undang seperti pihak Polis atau SPRM boleh membuat permohonan kepada seorang Majistret menahan seseorang bagi tempoh masa tertentu bagi tujuan siasatan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan reman boleh klik SINI.

Artikel kali ini, saya fokuskan apakah 3 sebab mahkamah boleh menolak permohonan reman.

1.PEGAWAI PENYIASAT TIDAK MENGEMUKAKAN DIARI SIASATAN

Dibawah seksyen 117(1) Kanun Prosedur Jenayah, seorang pegawai penyiasat yang membuat permohonan reman wajib mengemukakan diari siasatan dan kegagalan mengemukakan diari siasatan tersebut boleh menyebabkan permohonan reman tersebut ditolak.

2. TIADA KAITAN ANTARA KESALAHAN YANG SEDANG DISIASAT DENGAN ORANG YANG DITAHAN

Selain itu, seksyen 117(1) Kanun Prosedur Jenayah menyatakan bahawa pegawai penyiasat perlu membuktikan wujudnya maklumat yang berasas (well-founded information) yang dapat mengaitkan orang yang ditahan dengan kesalahan jenayah yang sedang disiasat.

Sebagai contoh, dalam jika siasatan berkaitan dengan kes kecurian kenderaan, pegawai penyiasat perlu mengemukakan maklumat yang dapat mengaitkan orang yang ditahan dengan kes tersebut seperti ada saksi yang melihat kecurian tersebut, atau ada CCTV yang merakam orang yang ditahan sedang melakukan kesalahan tersebut.

3. TIADA ALASAN YANG MUNASABAH YANG MEMERLUKAN ORANG YANG DITAHAN DIREMAN.

Semasa proses permohonan reman, pegawai penyiasat perlu mengemukakan alasan yang memerlukan seseorang tersebut direman dan alasan-alasan tersebut perlulah munasabah.

Antara contoh alasan yang munasabah adalah reman bagi tujuan kawat cam, menunjukkan termpat kejadian, mengesan rakan sejenayah dan lain-lain dan antara alasan yang tidak munasabah adalah untuk membuat semakkan latarbelakang, membuat siasatan berkaitan barang kes, kualiti barang, menyiapkan kertas siasatan dan lain-lain alasan yang tidak memerlukan orang yang ditahan berada dalam tahanan reman.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kuasa untuk menetukan sama ada permohonan reman tersebut boleh ditolak atau diterima bergantung kepada budibicara Majistret berdasarkan fakta kes yang dibentangkan semasa permohonan tersebut dibuat. Ini hanyalah panduan berdasarkan peruntukan undang-undang dibawah Kanun Prosedur Jenayah.

Semoga bermanfaat.

About the author

Alif Tarmizi

Tuan Alif Tarmizi merupakan seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes jenayah sejak 2017. Antara kes yang pernah beliau kendalikan adalah kes Dadah, Jenayah Seksual, Jenayah Rasuah, Jenayah Komersial, POCA, SOSMA, Jenayah Berat dan lain-lain.

View all posts

2 Comments

  • Terima Kasih Tuan atas khidmat dan maklumat yg disalurkan.

    Pertanyaan saya : Boleh kah kita tidak membenarkn pegawai polis dari memasuki rumah sekiranya diminta. Saya tidak pasti tentang undangĀ² yg berkaitan. TQ

    • Sekiranya pihak polis tersebut datang, memperkenalkan diri, menunjukkan kad kuasa, dan memaklumkan tujuan kedatangan sama ada untuk tangkapan atau siasatan, encik wajib memberikan kerjasama dan sekiranya encik tidak memberikan kerjasama pihak mereka bukan sahaja boleh memecah masuk rumah encik malahan boleh menahan encik atas kesalahan menganggu penjawat awam melakukan kerja.

      Sekiranya encik tidak yakin yang datang adalah pegawai polis, encik boleh menghubungi balai polis terdekat untuk membuat pemeriksaan.