3 PERKARA YANG ANDA PERLU PERTIMBANGKAN SEBELUM MENGAKU SALAH

Apabila anda dituduh di Mahkamah atas kesalahan jenayah, dan anda benar-benar terlibat dengan kesalahan jenayah yang dipertuduhkan kepada anda, saya selalu sarankan untuk anda membuat pengakuan bersalah bagi mengurangkan hukuman yang boleh dikenakan kepada anda.

Walau bagaimanapun, sebelum membuat pengakuan bersalah, anda perlulah menimbangkan perkara-perkara berikut;

1. HUKUMAN YANG BOLEH DIKENAKAN

Apabila anda membuat pengakuan bersalah anda mestilah tahu dengan jelas apakah hukuman yang boleh dikenakan kepada anda. Ini adalah supaya anda boleh bersedia dari segi mental, fizikal mahupun wang ringgit. Selain itu, ini juga bagi mengelakkan anda dari dikenakan hukuman yang diluar pengetahuan anda seperti penjara mandatori, sebat dan lain-lain.

2. KESAN TERHADAP PENGAKUAN BERSALAH

Selain dari jenis hukuman yang boleh dikenakan, anda juga perlu tahu kesan terhadap hukuman yang diberikan. Antara kesan terhadap pengakuan bersalah, anda akan mempunyai rekod jenayah yang menyebabkan kaki tangan kerajaan boleh diberhentikan dan mereka yang sedang mencari pekerjaan dalam sektor awam tidak diterima bekerja. Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada jenis kesalahan (bukan semua kesalahan akan ada rekod jenayah) dan fakta kes.

Antara lain, kesan pengakuan bersalah juga adalah tertuduh tidak boleh menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas hukuman diberikan. Tertuduh yang tidak berpuas hati dengan hukuman boleh membuat rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi NAMUN HANYA TERTAKLUK KEPADA RAYUAN TERHADAP HUKUMAN YANG DIBERIKAN SAHAJA.

3. PILIHAN LAIN

Sebelum membuat pengakuan bersalah juga, anda juga perlulah mempertimbangkan pilihan-pilihan lain seperti;

  • penyelesaian luar Mahkamah dengan pengadu dengan membayar pampasan kepada pengadu atau;
  • dengan menghantar surat representasi kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk mempertimbangkan satu pertuduhan pilihan yang lebih baik;
  • kemungkinan hukuman yang lebih ringan seperti bon berkelakuan baik, kompaun dan lain-lian

Sebagai penutup, sebaik-baiknya sebelum membuat pengakuan bersalah, dapatkan nasihat daripada peguam yang berpengalaman dalam kes jenayah. Ini akan membantu anda membuat keputusan yang betul.

Semoga bermanfaat.

About the author

Alif Tarmizi

Tuan Alif Tarmizi merupakan seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes jenayah sejak 2017. Antara kes yang pernah beliau kendalikan adalah kes Dadah, Jenayah Seksual, Jenayah Rasuah, Jenayah Komersial, POCA, SOSMA, Jenayah Berat dan lain-lain.

View all posts

6 Comments

  • Salam. Hai. Saya nak tanya bagaimana kalau OKT tersebut tidak bersalah tetapi terpaksa mengaku salah kerana sepanjang waktu reman dia dipukul oleh polis yang melakukan siasatan? Selagi tidak mengaku, OKT tersebut akan dipukul atau diterajang? Sehubungan dengan itu, OKT ini dituduh tanpa bukti (namanya difitnah) tetapi polis tidak cari bukti tersebut dan hanya menangkap OKT tersebut dan paksa dia mengaku. Tiada bukti pon yang menunjukkan dia melakukan jenayah tersebut. Namun, OKT tersebut diberi jaminan polis dan diberitahu yang tertuduh akan di buang daerah. Bagaimana untuk kes ini? Boleh ke dapatkan pembelaan? Bagaiman caranya?

  • Wsalam. Puan, sekiranya OKT tersebut dipaksa mengaku bersalah dalam tahanan reman, OKT boleh membuat laporan polis dan bawa laporan polis tersebut ke Suruhanjaya Integriti (puan boleh google) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM (ini puan boleh search di Facebook).

    Selagi mana tiada pertuduhan, selagi itu OKT tidak boleh dibuang daerah melainkan ianya berkaitan dengan kes POCA atau LLPK.

  • Kes Saya agak Berat,berkenaan aset2 Arwah suami dlm company yg habis dijual oleh partner sendiri(Merangkap Bekas Isteri,Arwah memeluk A.Islam),Bahagian Arwah juga diambil(Saya mempunyai surat utk mentadbir Aset2 Arwah),Awal tahun ini semua aset habis dijual

  • Adakah kesalahan memukul isteri jika didapati bersalah, akan menjadi jenayah yang direkodkan?