SEKSYEN 424 KANUN KESEKSAAN: APA YANG PERLU ANDA TAHU

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KELADAI AKAUN

Keldai Akaun adalah terma yang digunakan terhadap mereka yang telah memberikan akaun bank dan/atau kad atm mereka kepada pihak ketiga.

Kebanyakkan mereka yang menjadi Keldai Akaun ini telah diperdaya oleh pihak ketiga sama ada dalam bentuk memberikan pinjaman wang, menyewa akaun dan lain-lain cara lagi bagi mendapatkan akaun bank tersebut.

Kemudian, pihak ketiga ini akan menggunakan akaun tersebut (mule account) untuk membuat kerja-kerja penipuan (scammer) tanpa identiti mereka terdedah.

Kesanya, mereka yang telah memberikan kad atm atau akaun mereka digunakan oleh orang lain berdepan pertuduhan dibawah seksyen 424 Kanun Keseksaan.

TANGKAPAN DAN REMAN

Sekiranya terdapat laporan polis berkaitan dengan akaun bank anda, pihak polis boleh membekukan akaun tersebut dan membuat tangkapan terhadap pemilik akaun bagi tujuan siasatan. Sekiranya siasatan tidak boleh dilengkapkan dalam tempoh 24 jam, pihak polis akan membuat permohonan reman di hadapan seorang Majistret.

Tempoh reman maksimum yang boleh diberikan oleh Mahkamah adalah 4 hari bagi permohonan reman pertama dan 3 hari bagi permohonan reman kedua.

PERTUDUHAN

Selepas siasatan selesai, pihak polis akan menghantar kertas siasatan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk mendapatkan arahan lanjut. Sekiranya pihak pendakwaan bersetuju untuk membuat pertuduhan, anda akan dihadapkan ke Mahkamah bagi tujuan pertuduhan.

Selepas pertuduhan dibacakan, anda akan diberikan peluang untuk memilih sama ada untuk mengaku bersalah atau minta untuk dibicarakan. Sekiranya anda memilih untuk mengaku bersalah, anda boleh dihukum pada hari yang sama manakala sekiranya anda memilih untuk dibicarakan, Mahkamah akan menawarkan jaminan.

HUKUMAN DIBAWAH SEKSYEN 424 KANUN KESEKSAAN

Seseorang yang dituduh dibawah seksyen 424 Kanun Keseksaa boleh dihukum dengan hukuman penjara boleh sampai 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

APA YANG PIHAK PENDAKWAAN PERLU BUKTIKAN DIBAWAH SEKSYEN 424 KANUN KESEKSAAN.

Sekiranya anda memberikan kad atm atau akses terhadap akaun bank anda kepada pihak ketiga dengan mengetahui atau ada sebab untuk mengetahui bahawa bank akaun anda tersebut boleh digunakan oleh pihak ketiga untuk melakukan kerja-kerja “scammer”, anda boleh disabitkan kesalahan dan dihukum dibawah seksyen ini.

Namun begitu, sebelum anda sabitan boleh dilakukan, pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa anda sebagai pemegang akaun terlibat secara aktif dengan pihak ketiga bagi menipu mangsa.

Ini dinyatakan oleh Yang Arif Ahmad Fairuz di dalam kes Sarimah Peri lwn Pendakwa Raya (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur);

Mahkamah berpendapat bahawa untuk satu pendakwaan yang berjaya di bawah s 424 KK secara khususnya sekiranya pertuduhan berkaitan dengan membantu menyembunyikan atau mengeluarkan harta, pendakwaan perlu menunjukan bahawa tindakan terang-terangan oleh tertuduh untuk membantu dengan penyelindungan atau pengeluaran harta tersebut. Hanya dengan membuktikan pembukaan satu akaun oleh seorang individu tanpa apa-apa yang lanjut, tidak terjumlah kepadanya membantu pelakuan kesalahan tersebut. Perlu wujud keterangan lain yang boleh menunjuk sama ada pakatan sulit atau penglibatan aktif dipihak pemegang akaun. Berdasarkan perkara diatas, mahkamah berpendapat bahawa majistret tersebut terkhilaf apabila beliau mendapati bahawa pendakwaan telah membuktikan satu kes prima facie.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, jangan beri kad atm atau akaun anda kepada mana-mana pihak untuk apa-apa sebab sekalipun bagi mengelakkan anda dari terjebak menjadi “Keldai Akaun”. Sekiranya kad atm anda hilang atau telah diperdaya memberikan kad atm kepada pihak ketiga, segera laporkan kepada bank anda dan membuat laporan kepada pihak polis bagi mengelakkan anda dituduh dibawah seksyen 424 Kanun Keseksaan.

About the author

Alif Tarmizi

Tuan Alif Tarmizi merupakan seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes jenayah sejak 2017. Antara kes yang pernah beliau kendalikan adalah kes Dadah, Jenayah Seksual, Jenayah Rasuah, Jenayah Komersial, POCA, SOSMA, Jenayah Berat dan lain-lain.

View all posts