BUKAN SEMUA KES BOLEH DIJAMIN

Seseorang yang dituduh di Mahkamah (digelar sebagai Orang Kena Tuduh atau OKT) atas kesalahan jenayah dan minta dibicarakan (tidak mengaku bersalah) boleh memohon kepada mahkamah untuk satu jaminan sementara menunggu tarikh perbicaraan.

APAKAH ITU JAMINAN (BAIL)?

Jaminan (atau Bail dalam Bahasa Inggeris) merupakan satu prosedur yang mana seseorang yang dituduh boleh merayu kepada Mahkamah untuk satu tawaran jaminan bagi membolehkan OKT yang dituduh boleh berada diluar dan hanya perlu hadir ke Mahkamah pada tarikh-tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah.

Sekiranya Mahkamah bersetuju untuk memberikan menawarkan jaminan kepada OKT tersebut, Mahkamah akan mengarahkan OKT meminta seseorang penjamin hadir bagi menjamin OKT dengan jumlah cagaran yang dinyatakan oleh Mahkamah.

Mahkamah juga boleh menetapkan syarat-syarat tambahan kepada OKT sebagai syarat jaminan seperti perlu hadir ke balai polis berdekatan pada waktu tertentu, tidak boleh menghampiri mangsa, pengadu atau saksi, tidak boleh berada di luar rumah pada waktu tertentu dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, BUKAN SEMUA KES BOLEH DI JAMIN.

JENIS-JENIS JAMINAN DI MALAYSIA.

Secara umunya, terdapat tiga jenis jaminan dibawah undang-undang iaitu kesalahan yang boleh dijamin (Bailable offence), kesalahan yang tidak boleh dijamin (Non-bailable offence) dan kesalahan yang tidak boleh dijamin secara mutlak (Unbailable offence). Kesemua kategori-kategori jaminan ini adalah dinyatakan di dalam jadual 1 Kanun Prosedur Jenayah dan lain-lain akta yang berkaitan.

KESALAHAN YANG BOLEH DIJAMIN (BAILABLE OFFENCE)

Bagi kesalahan yang boleh dijamin, mahkamah WAJIB memberikan jaminan kepada OKT tersebut. Namun jumlah jaminan dan syarat-syarat jaminan masih tertakluk kepada budibicara Mahkamah. Dalam erti kata lain, Mahkamah boleh membuat keputusan sama ada menawarkan jaminan atau tidak kepada OKT selepas meneliti rayuan OKT.

Antara contoh kesalahan dibawah kategori ini adalah; seksyen 323 Kanun Keseksaan, seksyen 420 dan seksyen 424 Kanun Keseksaan, seksyen 12 dan seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya dan lain-lain

KESALAHAN YANG TIDAK BOLEH DIJAMIN (NON BAILABLE OFFENCE)

Bagi kesalahan dibawah kategori ini, secara umumnya tidak boleh dijamin. Namun demikian, Mahkamah boleh menggunakan budibicaranya untuk memberikan jaminan kepada OKT berdasarkan rayuan yang dikemukakan oleh OKT.

Antara contoh kesalahan dibawah kategori ini adalah seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol), seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, seksyen 14 dan seksyen 15 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak dan sebagainya.

KESALAHAN YANG TIDAK BOLEH DIJAMIN SECARA MUTLAK (UNBAILANLE OFFENCE)

Bagi kesalahan dibawah kategori ini, Mahkamah langsung tidak mempunyai kuasa untuk memberikan jaminan. Antara contoh kesalahan yang langsung tidak boleh dijamin adalah kesalahan dibawah seksyen 39A2, seksyen 39B dan seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya dan lain-lain.

Kesimpulannya, sebelum anda memohon jaminan kepada Mahkamah, anda perlu membuat semakan terlebih dahulu sama ada kesalahan anda ini boleh dijamin atau tidak. Sebaiknya dapatkan nasihat peguam anda sebelum membuat permohonan jaminan.

About the author

Alif Tarmizi

Tuan Alif Tarmizi merupakan seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes jenayah sejak 2017. Antara kes yang pernah beliau kendalikan adalah kes Dadah, Jenayah Seksual, Jenayah Rasuah, Jenayah Komersial, POCA, SOSMA, Jenayah Berat dan lain-lain.

View all posts

2 Comments

  • Salam, Abg saya dilaporkan oleh bini nya yang dia telah memukul bininya pada hari sabtu. Bini buat laporan pd isnin beserta medical checkup. So abg sy kne tahan pd ari isnin dan masih ditahan. Untuk kes mcm ni, andai laporan perubatan mmbuktikan kesan pukulan adlah benar, apa yang perlu sy, keluarga dan abg sy buat? N apakah procedure sterusnya?

    • Walaikumsalam. Yang terbaik adalah berbincang dengan pihak isteri dan cuba untuk penyelesaian diluar mahkamah memandangkan kesalahan dibawah seksyen 326A wajib penjara.