SEKSYEN 420 KANUN KESEKSAAN: APA YANG PERLU ANDA TAHU

PENGENALAN

Jenayah penipuan kian berleluasa di Negara ini namun tahukan anda kesalahan menipu sehingga mendorong mangsa untuk menyerahkan harta kepada sipenipu merupakan satu kesalahan dibawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Seksyen 420 Kanun Keseksaan Menyatakan bahawa;

Barang siapa menipu dan dengan jalan demikian itu mendorong secara tidak jujur orang yang terpedaya, sama ada atau tidak perdayaan yang diamalkan itu ialah dorongan tunggal atau utama, supaya menyerahkan apa-apa harta kepada mana-mana orang, atau supaya membuat, mengubah, atau membinasakan kesemua atau apa-apa bahagian sesuatu cagaran berharga, atau apa-apa yang bertandatangan atau bermeteri, dan yang boleh dijadikan suatu cagaran berharga, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda.

TEMPOH REMAN DIBAWAH SEKSYEN 420 KANUN KESEKSAAN

Sekiranya anda ditanggkap dibawah seksyen ini, pihak polis mempunyai kuasa untuk menahan anda selama 24 jam. Kemudianya, sekiranya siasatan tidak boleh dilengkapkan dalam tempoh 24 jam, maka pihak polis boleh memohon kepada Majistret untuk penahanan reman selama 4 hari bagi permohonan pertama dan 3 hari bagi permohonan sambung reman.

PERTUDUHAN DAN JAMINAN

Selepas siasatan selesai dan pihak polis akan mengemukakan kertas siasatan kepada pihak Pendakwaan untuk arahan lanjut dan sekiranya pihak Pendakwaan bersetuju untuk mendakwa anda dibawah seksyen ini, maka anda akan dikemukakan ke Mahkamah dan pertuduhan akan dibacakan.

Selepas pertuduhan dibacakan, anda akan diberikan peluang sama ada untuk mengaku bersalah atau untuk merekodkan pengakuan salah. Sekiranya anda memilih untuk mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, anda akan ditawarkan jaminan memandangkan kesalahan ini merupakan kesalahan yang boleh dijamin namun jumlah jaminan adalah tertakluk kepada Mahkamah.  

HUKUMAN DIBAWAH SEKSYEN 420 KANUN KESEKSAAN

Namun, sekiranya anda memilih untuk mengaku bersalah atau disabitkan kesalahan selepas tamat perbicaraan, anda boleh dihukum dengan satu tempoh pemenjaraan tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda.

APA YANG PIHAK PENDAKWAAN PERLU BUKTIKAN KEPADA MAHKAMAH SEBELUM SABITAN DAN HUKUMAN BOLEH DIKENAKAN TERHADAP TERTUDUH

Tiga elemen penting yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan kepada Mahkamah adalah;

  1. Tertuduh telah mempedayakan pengadu/mangsa;
  2. Pengadu/mangsa telah menyerahkan harta kepada seseorang kerana perdayaan itu; dan
  3. Tertuduh dengan niat memperdaya pengadu dengan curang.

(Yang Arif Hassan Abdul Ghani di dalam kes Tengku Azlita Binti Tengku Ismail lwn Pendakwa Raya dan satu lagi rayuan [2017] MLJU 2359).

Sekiranya anda tidak bersalah, anda perlu membuktikan bahawa anda tidak memperdayakan mana-mana orang dan/atau anda tidak pernah menerima apa-apa harta daripada mangsa/pengadu.

APA YANG ANDA BOLEH LAKUKAN SEKIRANYA ANDA MANGSA PENIPUAN

Sekiranya anda adalah mangsa kepada penipuan (scammer) anda perlu segera membuat laporan polis dan untuk mendapatkan semula wang anda, anda perlu memfailkan saman terhadap “scammer” tersebut.

Namun begitu, dalam kebanyakkan masa, adalah sukar untuk mendapatkan kembali wang anda kerana kesukaran untuk mengesan “scammer” tersebut dan sekiranya “scammer” tersebut ditahan, kemungkinan wang anda yang ditipu tersebut telah habis digunakan.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, berhati-hatilah daripada ditipu. Semoga bermanfaat.

About the author

Alif Tarmizi

Tuan Alif Tarmizi merupakan seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes jenayah sejak 2017. Antara kes yang pernah beliau kendalikan adalah kes Dadah, Jenayah Seksual, Jenayah Rasuah, Jenayah Komersial, POCA, SOSMA, Jenayah Berat dan lain-lain.

View all posts