SEKSYEN 411 KANUN KESEKSAAN: KESALAHAN MENYIMPAN HARTA CURI

PENGENALAN

Sekiranya anda menyimpan atau memilik harta atau barang yang anda tahu atau mempunyai sebab untuk mengetahui bahawa barangan atau harta tersebut merupakan barang atau harta curi, anda boleh didakwa dibawah seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Seksyen 411 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa;

Barang siapa secara tidak jujur menerima atau menyimpan apa-apa harta curi, dengan mengetahui atau denga nada sebab mempercayainya sebagai harta curi, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 5 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya; dan jika harta curi itu sebuah kenderaan motor atau mana-mana bahagian komponen sebuah kenderaan motor sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen 379A, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari 6 bulan dan tidak lebih 5 tahun, dan hendaklah juga dikenakan denda.

HUKUMAN

Terdapat dua jenis hukuman di dalam seksyen 411 Kanun Keseksaan yang mana;

  • Sekiranya harta/barang curi berkenaan bukan kenderaan bermotor atau mana-mana bahagian dari kenderaan bermotor, maka hukumanya adalah penjara boleh sampai 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali;
  • Sekiranya harta/barang curi berkenaan adalah kenderaan bermotor seperti kereta, lori atau motor, atau mana-mana bahagian dari kenderaan berkenaan maka hukumanya adalah penjara tidak kurang 6 bulan dan tidak lebih 6 tahun dan denda.

REMAN

Di bawah seksyen ini, tempoh reman maksimum yang boleh dipohon oleh pihak polis adalah 4 hari bagi permohonan pertama dan 3 hari bagi permohonan sabung reman.

APA YANG PIHAK PENDAKWAAN PERLU BUKTIKAN DI MAHKAMAH

Dalam membuktikan kesalahan dibawah seksyen 411 Kanun Keseksaan, pihak Pendakwaan perlu membuktikan bahawa;

  1. Harta/Barang yang menjadi intipati kes merupakan barang curi;
  2. Tertuduh/OKT menerima atau menyimpan barang/harta berkenaan; dan
  3. Tertuduh/OKT mengetahui atau ada sebab untuk mengetahui bahawa barangan tersebut merupakan barang/harta curi

(Yang Arif Shahnaz Sulaiman (JC) di dalam kes Pendakwa Raya lwn Samsurihazrul bin Mat Rawi [2021] MLJU 70)

Sekiranya anda dituduh dibawah seksyen 411 Kanun Keseksaan dan anda yakin anda tidak bersalah, maka anda perlu membuktikan bahawa barang/harta yang ada terima/simpan/miliki tersebut bukan barang curia atau anda tidak mengetahui atau mempunyai sebab untuk mengetahui barang tersebut adalah barang/harta curi.

KESIMPULAN

Kebanyakkan kes yang melibatkan seksyen 411 ini apabila mereka (tertuduh) ini membeli barangan terpakai dengan harga yang lebih murah atau menyimpan barangan/harta atau kenderaan bagi pihak orang lain tanpa mengetahui barangan tersebut adalah barang curi. Oleh yang demikian berhati-hati dalam membantu menyimpan kenderaan/barang/harta orang lain atau membeli barangan terpakai.  

About the author

Alif Tarmizi

Tuan Alif Tarmizi merupakan seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes jenayah sejak 2017. Antara kes yang pernah beliau kendalikan adalah kes Dadah, Jenayah Seksual, Jenayah Rasuah, Jenayah Komersial, POCA, SOSMA, Jenayah Berat dan lain-lain.

View all posts