SEKSYEN 39C AKTA DADAH BERBAHAYA

Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya adalah satu seksyen yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan memberikan diri sendiri dadah (consume) yang berulang.

Dalam erti kata lain, sekiranya penangih dadah tersebut pernah dituduh dan dijatuhkan hukuman menggunakan dadah (urine) dibawah seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) sebanyak dua kali sebelum ini, bagi kesalahan buat kali ketiga, penangih dadah tersebut boleh dihukum dibawah seksyen 39C ADB.

HUKUMAN

Sekiranya seseorang yang didapati bersalah dibawah seksyen 39C ADB, mereka ini boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya 5 tahun dan maksimum 7 tahun dan sebat tidak melebihi 3 kali.

JAMINAN

Mereka yang dituduh dibawah seksyen 39C juga TIDAK BOLEH DIJAMIN.

MENGAKU SALAH ATAU MINTA BICARA

Jadi apa pilihan yang ada bagi mereka yang dituduh dibawah seksyen ini?

Pertama jika mereka memilih untuk mengaku bersalah, mereka boleh dihukum seperti penjara sekurang-kurangnya 5 tahun dan satu sebatan dan mereka ini boleh memohon kepada Hakim untuk hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap.

Bagaimana pula untuk untuk mereka yang memilih untuk dibicarakan? Apa yang perlu dibuktikan di Mahkamah?

PEMBELAAN

Untuk bebas dari seksyen ini, tertuduh perlu membuktikan sama ada mereka ini benar-benar tidak mengambil (consume) dadah dan/atau membuktikan mereka tidak pernah mempunyai dua rekod lampau menggunakan (consume) dadah.

Bagaimana ini boleh dilakukan?

Pertama, tertuduh perlu membuktikan bahawa air kencing yang diambil semasa ditahan itu bukan miliknya. Ini boleh dibuktikan dengan mengemukakan keterangan bahawa air kencing tersebut diambil dengan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang.

Selain itu, untuk membuktikan air kencing yang diambil tersebut bukan milik tertuduh, tertuduh juga boleh mencabar rantaian perjalanan (Chain of evidence) air kencing daripada diambil di balai polis sehingga dibawa ke makmal Jabatan Kimia untuk Analisa.

Sekiranya tertuduh Berjaya membuktikan air kencing tersebut bukan miliknya, maka tertuduh boleh dilepaskan dan dibebaskan. Namun begitu, sekiranya tertuduh gagal, tertuduh masih boleh mecabar keaslian (originality) dan penerimaan (admissibility) dokumen yang dapat menunjukkan rekod lampau tertuduh.

Ini mestilah dilakukan berdasarkan undang-undang yang mana sekiranya dokumen atau bukti berkaitan gagal dikemukakan berdasarkan undang-undang, tertuduh juga tidak boleh disabitkan dibawah seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.

Walau bagaimanapun, ianya tetap bergantung kepada fakta kes masing-masing.

PENUTUP

Diharap Artikel ini dapat memberikan sedikit pencerahan kepada mereka yang sedang mencari maklumat berkaitan seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya. Artikel ini ditulis bukan untuk menggalakkan lebih ramai orang terlibat dengan penyalah gunaan dadah. Ianya hanyalah bagi tujuan ilmian dan penjelasan kepada orang ramai.

About the author

Alif Tarmizi

Tuan Alif Tarmizi merupakan seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes jenayah sejak 2017. Antara kes yang pernah beliau kendalikan adalah kes Dadah, Jenayah Seksual, Jenayah Rasuah, Jenayah Komersial, POCA, SOSMA, Jenayah Berat dan lain-lain.

View all posts