SEKSYEN 15 AKTA KESALAHAN-KESALAHAN SEKSUAL TERHADAP KANAK-KANAK 2017: AMANG SEKSUAL BUKAN FIZIKAL TERHADAP KANAK-KANAK

Seseorang yang melakukan kesalahan amang seksual bukan fizikal seperti menunjukkan kemaluan kepada kanak-kanak, atau membuatkan kanak-kanak menunjukkan mana-mana bahagian kanak-kanak tanpa mencabulnya, atau melakukan aktiviti seksual dihadapan kanak-kanak, atau menyebabkan kanak-kanak melakukan suatu aktiviti seksual boleh dituduh dibawah seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

HUKUMAN

Sekiranya disabitkan kesalahan dibawah seksyen ini, tertuduh boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000.00 atau kedua-duanya.

REMAN

Seseorang yang ditahan dibawah seksyen ini boleh direman sehingga 14 hari dengan permohonan reman pertama 7 hari dan boleh disambung reman untuk 7 hari lagi.

JAMINAN

Secara umumnya, kesalahan dibawah seksyen ini merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin (unbailable). Walau bagaimanapun, Mahkamah boleh memberikan jaminan dengan menimbangkan rayuan tertuduh semasa permohonan jaminan dibuat.

Namun begitu, sekiranya Mahkamah membenarkan jaminan, Mahkamah boleh memberikan jaminan yang tinggi dengan syarat-syarat yang ketat seperti tidak dibenarkan berhubung dengan mangsa atau keluarga mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

PEMBELAAN

Khusus bagi mereka yang tidak bersalah, antara pembelaan yang selalunya membuatkan mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh dari pertuduhan adalah apabila wujudnya percanggahan keterangan di dalam keterangan saksi-saksi pendakwaan dan percanggahan tersebut mestilah percanggahan yang “material” yang berkaitan dengan pertuduhan yang dengannya boleh menimbulkan keraguan di dalam kes pendakwaan.

Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada fakta sesuatu kes dan kecekapan peguam dalam mengendalikan kes.

TARIK REPOT

Sekiranya mangsa dan tertuduh telah mencapai kata sepakat dan mangsa tidak mahu meneruskan kes, mangsa boleh membuat laporan tarik balik dan perlulah dimaklumkan kepada Pegawai Penyiasat Kes.

Namun begitu, walaupun laporan tarik balik telah dibuat, kes masih boleh diteruskan bergantung kepada budibicara Polis dan Pendakwa Raya.

KESIMPULAN

Di bawah akta ini, banyak keistimewaan diberikan kepada saksi kanak-kanak yang sebelum ini tidak ada seperti keterangan saksi kanak-kanak boleh diterima oleh Mahkamah tanpa perlu keterangan sokongan.

PRINSIP  

Sebagai seorang peguam saya sangat berhati-hati dalam mengendalikan apa-apa kes jenayah terutamanya apabila mangsanya melibatkan kanak-kanak. Oleh itu, saya hanya mengendalikan kes dibawah akta ini bagi mereka yang benar-benar TIDAK BERSALAH ATAU TIDAK MELAKUKAN KESALAHAN SEPERTI DALAM PERTUDUHAN.

Bagi mereka yang melakukan kesalahan, saya hanya boleh mewakili anda setakat membuat rayuan terhadap hukuman.

About the author

Alif Tarmizi

Tuan Alif Tarmizi merupakan seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes jenayah sejak 2017. Antara kes yang pernah beliau kendalikan adalah kes Dadah, Jenayah Seksual, Jenayah Rasuah, Jenayah Komersial, POCA, SOSMA, Jenayah Berat dan lain-lain.

View all posts