Seseorang yang menyentuh mana-mana bahagian seorang kanak-kanak, atau menyebabkan kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan orang berkenaan, atau membuatkan kanak-kanak berkenaan menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak itu sendiri, atau melakukan apa-apa perbuatan lain yang melibatkan sentuhan fizikal dengan seorang kanak-kanak tanpa persetubuhan dengan niat secara seksual boleh dituduh dibawah seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
HUKUMAN
Sekiranya disabitkan kesalahan dibawah seksyen ini, tertuduh boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.
REMAN
Seseorang yang ditahan dibawah seksyen ini boleh direman sehingga 14 hari dengan permohonan reman pertama 7 hari dan boleh disambung reman untuk 7 hari lagi.
JAMINAN
Secara umumnya, kesalahan dibawah seksyen 14 ini merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin (unbailable). Walau bagaimanapun, Mahkamah boleh memberikan jaminan dengan menimbangkan rayuan tertuduh semasa permohonan jaminan dibuat.
Namun begitu, sekiranya Mahkamah membenarkan jaminan, Mahkamah boleh memberikan jaminan yang tinggi dengan syarat-syarat yang ketat seperti tidak dibenarkan berhubung dengan mangsa atau keluarga mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
PEMBELAAN
Khusus bagi mereka yang tidak bersalah, antara pembelaan yang selalunya membuatkan mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh dari pertuduhan adalah apabila wujudnya percanggahan keterangan di dalam keterangan saksi-saksi pendakwaan dan percanggahan tersebut mestilah percanggahan yang “material” yang berkaitan dengan pertuduhan yang dengannya boleh menimbulkan keraguan di dalam kes pendakwaan.
Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada fakta sesuatu kes dan kecekapan peguam dalam mengendalikan kes.
TARIK REPOT POLIS
Sekiranya mangsa dan tertuduh telah mencapai kata sepakat dan mangsa tidak mahu meneruskan kes, mangsa boleh membuat laporan tarik balik dan perlulah dimaklumkan kepada Pegawai Penyiasat Kes.
Namun begitu, walaupun laporan tarik balik telah dibuat, kes masih boleh diteruskan bergantung kepada budibicara Polis dan Pendakwa Raya.
KESIMPULAN
Di bawah akta ini, banyak keistimewaan diberikan kepada saksi kanak-kanak yang sebelum ini tidak ada seperti keterangan saksi kanak-kanak boleh diterima oleh Mahkamah tanpa perlu keterangan sokongan.
PRINSIP
Sebagai seorang peguam saya sangat berhati-hati dalam mengendalikan apa-apa kes jenayah terutamanya apabila mangsanya melibatkan kanak-kanak. Oleh itu, saya hanya mengendalikan kes dibawah akta ini bagi mereka yang benar-benar TIDAK BERSALAH ATAU TIDAK MELAKUKAN KESALAHAN SEPERTI DALAM PERTUDUHAN.
Bagi mereka yang melakukan kesalahan, saya hanya boleh mewakili anda setakat membuat rayuan terhadap hukuman.