Pihak berkuasa seperti polis, imigresen dan SPRM boleh membuat tangkapan sepertimana diperuntukkan dibawah undang-undang sekiranya mempunyai sebab untuk percaya bahawa orang yang ditangkap terlibat dalam sesuatu kesalahan jenayah. Namun hak untuk membuat tangkapan perlulah dibuat dengan berhati-hati tanpa memprejudiskan hak orang yang ditangkap.
Berikut merupakan hak-hak orang yang ditangkap;
1. HAK DIMAKLUMKAN SEBAB PENAHANAN
Apabila anda ditahan, pihak berkuasa perlu memaklumkan sebab anda ditahan. Ini dinyatakan di dalam Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan. Tangkapan menjadi tidak sah dan boleh dicabar sekiranya pihak berkuasa tidak memaklumkan sebab penahanan.
2. HAK BERDIAM DIRI
Apabila ditahan, anda tidak diwajibkan untuk menjawab semua persoalan daripada pihak berkuasa terutamanya mengaku salah atau menandatangani apa-apa dokumen “kosong” tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
Anda boleh menggunakan ayat ini “ saya akan menjawab di mahkamah” atau “saya ingin bercakap dengan peguam saya terlebih dahulu”.
Walau bagaimanapun, anda juga disarankan untuk memberikan kerjasama sepanjang siasatan untuk mengelakkan tempoh reman yang panjang.
3. HAK MENGHUBUNGI KELUARGA
Berdasarkan seksyen 28A(2)(a) Kanun Atucara Jenayah, pihak berkuasa perlu memberi kebenaran kepada orang yang ditahan untuk menghubungi keluarga atau waris atau kenalan sebelum mengambil keterangan daripada orang yang ditahan.
Sekiranya keluarga tidak dimaklumkan, orang yang ditahan boleh membuat aduan kepada Majistret semasa permohonan reman.
4. HAK MENGHUBINGI PEGUAM
Berdasarkan seksyen 28A(2)(b) Kanun Atucara Jenayah, pihak berkuasa juga perlu memberikan kebenaran untuk orang yang ditahan untuk berkomunikasi dengan peguam pilihanya.
5. HAK MENDAPATKAN UBATAN DAN RAWATAN
Sekiranya orang yang ditahan cedera atau mempunyai apa-apa penyakit yang perlu mendapatkan rawatan segera, pihak berkuasa perlu membuat orang yang ditahan untuk mendapatkan rawatan sesegera mungkin.
6. TEMPOH TAHANAN TIDAK MELEBIHI 24 JAM KECUALI DENGAN ADANYA PERINTAH REMAN DARIPADA MAJISTRET
Berdasarkan Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 28(1) Kanun Atucara Jenayah, pihak berkuasa tidak boleh menahan seseorang melebihi 24 jam kecuali dengan perintah reman daripada majistret.
Namun begitu, orang yang ditahan disarakan untuk;
1. TIDAK MELAWAN DAN MEMBERIKAN KERJASAMA SEMASA DITAHAN
Sila beri kerjasama kepada pihak berkuasa semasa proses tahanan berlaku bagi mengelakkan dituduh menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi dibawah seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda sehingga RM10,000.00 atau kedua-duanya.
Sebarang salah laku pihak berkuasa kita boleh ambil tindakkan kemudian.
2. MEMAKLUMKAN SEBARANG ADUAN KEPADA MAJISTRET SEKIRANYA DIBAWA UNTUK PERMOHONAN REMAN
Sekiranya mana-mana hak dinafikan oleh pihak berkuasa semasa tahanan, orang yang ditahan boleh membuat aduan sama ada melalui peguam atau secara terus kepada Majistret semasa proses permohonan reman dibuat.
3. MELAPORKAN SEBARANG SALAH LAKU ATAU KEKERASAN KEPADA SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN (EAIC) DAN JABATAN INTEGRITI PDRM
Selain daripada makluman kepada Majistret, orang yang ditahan atau wakilnya boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Jabatan Integriti PDRM sekiranya ada salah laku atau kekerasan daripada pihak berkuasa.
4. JANGAN TERLIBAT DENGAN RASUAH
Umum maklum bahawa rasuah merupakan satu kesalahan berat di Malaysia. Jangan sesekali cuba untuk merasuah penguatkuasa untuk mengelakkan kes menjadi lebih teruk. Sebaliknya, sekiranya pihak berkuasa meminta rasuah untuk “settle tepi” segera laporkan kepada SPRM. Kebanyakkan kes tidak boleh “settle tepi” walaupun dibayar. Ianya satu scammer.
5. JANGAN MENGAKU SALAH SEKIRANYA TIDAK BERSALAH
Dalam apa jua keadaan, jangan mengaku salah sekiranya tidak bersalah. Namun, sekiranya terdapat paksaan atau ugutan, boleh mengaku salah namun segera buat laporan selepas tamat perintah reman.
Semoga bermanfaat.