4 TIPS MEMILIH PEGUAM JENAYAH KHUSUSNYA BAGI YANG “FIRST-TIMER”

Sejak saya menubuhkan firma guaman saya pada tahun 2018, saya pernah dua kali didatangi oleh bakal anak guam yang meminta saya mewakili mereka setelah ditipu oleh peguam terdahulu.

Pertamanya, pada tahun 2018, saya telah didatangi oleh Puan S (bukan nama sebenar) yang ingin melantik saya sebagai peguam kepada adiknya yang telah ditahan dibawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya untuk menggantikan peguam terdahulu yang TIDAK HADIR ke Mahkamah dengan alasan yang tidak munasabah. Peguam ini juga telah dibayar lebih dari RM20,000.00!!

Kali kedua saya menerima isu seumpama ini pada tahun 2019 apabila saya didatangi Encik A yang ingin melantik saya mewakili dirinya selepas peguam yang beliau lantik sebelum itu telah MENARIK DIRI PADA HARI PERTAMA PERBICARAAN walaupun yuran guaman telah dibayar hampir RM6,000.00!!

Saya dapati persamaan bagi kedua-dua anak guam saya ini adalah mereka kali pertama terlibat dalam kes jenayah dan kali pertama melantik peguam jenayah. Jadi, terpanggil untuk berkongsi kepada anda apakah tips dalam melantik peguam jenayah khususnya bagi mereka yang kali pertama melantik peguam jenayah.

1. BUAT CARIAN LATAR BELAKANG BAKAL PEGUAM

Ramai orang yang tidak membuat carian latar belakang peguam anda. Mungkin anda terlalu yakin dengan peguam anda atau tidak tahu bagaimana membuat carian latar belakang peguam.

Bagi anda yang ingin membuat carian latar belakang peguam, pertama sekali sila semak dengan laman web Majlis Peguam atau Malaysian Bar. Ini adalah bagi menyemak sama ada peguam tersebut benar-benar berdaftar dengan Majlis Peguam.

Selain itu, anda juga boleh membuat membuat carian peguam anda di Google atau Facebook dan membaca “review” berkenaan peguam tersebut. Ini akan memberikan anda lebih banyak input berkenaan dengan peguam tersebut

2. JANGAN TERBURU-BURU MELANTIK SESEORANG PEGUAM

Tips kedua ini khusunya bagi mereka yang diperkenalkan dengan bakal peguam mereka sama ada melalui “Polis”, “Ulat Mahkamah” atau peguam itu sendiri yang anda jumpa di Mahkamah.

Walaupun anda yakin dengan peguam yang dicadangkan tersebut, anda dinasihatkan untuk membuat membuat carian latar belakang peguam tersebut bagi mengelakkan anda kerugian kemudian hari.

3. PASTIKAN ADA PERJANJIAN BERTULIS DIANTARA ANDA DAN PEGUAM ANDA

Selepas anda membuat carian latar belakang dan anda yakin untuk meneruskan kes dengan bakal peguam tersebut, pastikan anda menandatangani “Perjanjian Pelantikan Peguam” atau juga dikenali sebagai “Warrant To Act” bagi mengikat peguam tersebut dengan terma-terma yang dipersetujui. Jangan lupa simpan satu salinan perjanjian tersebut.

Perjanjian ini dapat digunakan dalam membuat laporan kepada pihak Majlis Peguam sekiranya Peguam anda mendatangkan masalah kemudian hari.

Anda juga boleh menggunakan perjanjian tersebut bagi menuntut kerugian anda dalam tuntutan sivil.

4. JANGAN TAKUT UNTUK MENUKAR PEGUAM SEKIRANYA PEGUAM ANDA BERMASALAH

Selain dari tips yang pertama, ini juga merupakan salah satu tips yang penting dan perlu anda beri perhatian. Ramai orang takut apabila mereka menukar peguam meskipun mereka mendapati peguam mereka bermasalah.

Selalunya pada peringkat awal, peguam-peguam yang bermasalah mula menunjukkan perangai sebenar mereka selepas mendapat bayaran “buka fail” atau “deposit”.

Lebih awal anda menyingkirkan peguam yang bermasalah ini, lebih baik untuk kes anda.

Sebagai kesimpulan, walaupun anda telah berusaha untuk mendapatkan peguam yang terbaik untuk mewakili anda dalam kes jenayah, namun bagi umat Islam, jangan kita lupa untuk beristikharah dan bertawakal kepada Allah kerana kepada Allah sahajalah tempat kita bergantung.

Sekian.

Mohon kongsikan artikel ini supaya rakan-rakan anda turut mendapat manfaat.

About the author

Alif Tarmizi

Tuan Alif Tarmizi merupakan seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes jenayah sejak 2017. Antara kes yang pernah beliau kendalikan adalah kes Dadah, Jenayah Seksual, Jenayah Rasuah, Jenayah Komersial, POCA, SOSMA, Jenayah Berat dan lain-lain.

View all posts