???????????????????????????????????????????

AKTA PENCEGAHAN JENAYAH 1959 (POCA): TAHANAN TANPA BICARA

Akta Pencegahan Jenayah 1959 atau Prevention of Crime Act atau lebih dikenali sebagai POCA merupakan satu akta yang digubal bagi mengekang aktiviti jenayah terancang, pertubuhan rahsia dan aktiviti keganasan.

Walau bagaimanapun, prosedur dibawah akta ini berbeza dengan akta-akta berkaitan jenayah yang lain seperti Kanun Keseksaan atau Akta SPRM yang mana orang yang ditangkap dibawah akta ini tidak akan dibicarakan di Mahkamah.

TANGKAPAN DIBAWAH AKTA POCA

Di bawah akta ini, pihak polis boleh menahan mana-mana orang yang disyakki terlibat di dalam kesalahan-kesalahan jenayah terancang, pertubuhan rahsia atau aktiviti keganasan tanpa perlu mendapatkan waran tangkap. Namun begitu, pihak polis masih perlu membuat permohonan reman dalam tempoh 24 jam selepas suspek ditahan.

REMAN DIBAWAH AKTA POCA

Tempoh reman maksimum yang dibenarkan dibawah akta ini adalah selama 59 hari yang mana 21 hari bagi permohonan reman pertama dan 38 hari bagi permohonan sambung reman.

Permohonan reman pertama selama 21 hari perlu dibuat dalam tempoh 24 jam selepas suspek ditahan dan permohonan perlulah dibuat oleh seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas dengan mengemukakan alasan-alasan mengapa permohonan permohonan reman dibuat.

Bagi permohonan sambung reman selama 38 hari pula, permohonan ini perlu dibuat oleh seorang pegawai polis berpangkat ASP dan ke atas dengan mengemukakan alasan mengapa suspek perlu dikemukakan kepada Pegawai Inkuiri Kementerian Dalam Negeri (Pegawai Inkuiri KDN) dengan disokong dengan penyataan bertulis oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Semasa permohonan reman ini, suspek boleh diwakili oleh Peguam.

SIASATAN OLEH PEGAWAI PENYIASAT DARIPADA PDRM

Di dalam tempoh tahanan reman yang pertama, Pegawai Penyiasat Polis perlu membuat siasatan termasuk mendapatkan keterangan suspek, saksi-saksi berkaitan dan lain-lain bagi melengkapkan kertas siasatan. Pegawai Penyiasat tersebut juga perlu menyediakan satu laporan dan dihantar Pegawai Inkuiri KDN dan Lembaga Pencegahan Jenayah.

SIASATAN OLEH PEGAWAI INKUIRI

Pegawai Inkuiri (Inquiry Officer) adalah seorang pegawai di bawah Kementerian Dalam Negeri yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia untuk membuat siasatan terhadap suspek berdasarkan laporan dan dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat PDRM. Pegawai Inkuiri juga akan memanggil saksi-saksi berkaitan kes termasuklah suspek sendiri. Suspek boleh diwakili peguam semasa Pegawai Inkuiri mengambil keterangan suspek.

Pegawai Inkuiri akan memulakan siasatan selepas tempoh reman kedua bermula.

LAPORAN PEGAWAI INKUIRI

Selepas siasatan selesai, Pegawai Inkuiri KDN akan menyediakan laporan dan syor sama ada suspek perlu didaftarkan di dalam senarai Pendaftar Jenayah PDRM atau tidak dan alasan berbuat demikian. Laporan tersebut perlu disiapkan dan di hantar kepada Lembaga Pencegahan Jenayah secepat mungkin sebelum tamat tempoh reman kedua.

KEPUTUSAN LEMBAGA PENCEGAHAN JENAYAH

Lembaga Pencegahan Jenayah akan bersidang dan akan berbincang sama ada suspek perlu didaftarkan ke dalam senarai Pendaftaran Jenayah PDRM dan ada keperluan untuk suspek menjalani perintah pengawasan (buang daerah) atau perintah tahanan di penjara atau suspek boleh dibebaskan. Keputusan akan dibuat selepas meneliti laporan yang disediakan oleh Pegawai Penyiasat PDRM dan Pengawai Inkuiri KDN.

PERINTAH PENGAWASAN (BUANG DAERAH)

Selepas nama suspek didaftarkan dalam senarai Pendaftar Jenayah PDRM, suspek akan diserahkan dengan satu perintah dibawah seksyen 15 Akta POCA sebelum dibawa ke tempat yang dinyatakan di dalam perintah. Berdasarkan perintah dibawah seksyen 14 Akta POCA, suspek perlu berada didalam satu Kawasan yang telah ditetapkan dan boleh juga dipakaikan dengan gelang kaki eletronik yang dapat mengesan pergerakkan suspek bagi mengelakkan suspek keluar daripada Kawasan atau daerah yang telah ditetapkan.

Sekiranya suspek tidak berpuas hati dengan perintah yang dikeluarkan, suspek boleh memfailkan semakan kehakiman (Judicial Review) di Mahkamah Tinggi untuk mencabar keabsahan perintah tersebut. NAMUN BEGITU, ISU YANG BOLEH DIPERTIKAI HANYALAH BERKAITAN DENGAN ISU-ISU PROSEDUR SAHAJA.

PERINTAH TAHANAN

Selepas nama suspek didaftarkan dalam senarai Pendaftar Jenayah PDRM, suspek akan diserahkan dengan satu perintah dibawah seksyen 19A Akta POCA sebelum dibawa ke Penjara untuk menjalani tempoh penahanan. Bagi satu-satu tempoh penahanan, seseorang boleh ditahan semasa tempoh tidak lebih 2 tahun dan boleh diperbaharui untuk tempoh selanjutnya tidak melebihi 2 tahun.

Seseorang yang diperintahkan untuk menjalani tahanan di penjara boleh memohon satu representasi dihadapan Lembaga Penasihat. Tahanan juga boleh mewakili diri mereka sendiri atau diwakili oleh peguam. Lembaga Penasihat akan menimbangkan apa-apa fakta yang berkaitan dengan kes atau rayuan untuk memohon pengurangan jangka masa tempoh tahanan atau menukarkan perintah tahanan kepada perintah pengawasan.

Walau bagaimanapun, Lembaga Penasihat tidak terikat untuk memberikan apa-apa keputusan.

Sekiranya, tahanan tidak berpuas hati dengan perintah yang dikeluarkan, tahanan boleh memfailkan satu permohonan Harbeas Corpus di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keabsahan perintah yang dikeluarkan. NAMUN BEGITU, ISU YANG BOLEH DIPERTIKAI HANYALAH BERKAITAN DENGAN ISU-ISU PROSEDUR SAHAJA

KESIMPULAN

Dapatkan nasihat peguam sekiranya keluarga anda ditahan dibawah akta ini.

About the author

Alif Tarmizi

Tuan Alif Tarmizi merupakan seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes jenayah sejak 2017. Antara kes yang pernah beliau kendalikan adalah kes Dadah, Jenayah Seksual, Jenayah Rasuah, Jenayah Komersial, POCA, SOSMA, Jenayah Berat dan lain-lain.

View all posts